TAIPING – Kira-kira 50 ahli keluarga dan waris menuntut campur tangan kerajaan susulan dakwaan berlaku insiden kekerasan terhadap banduan tahanan oleh warden sehingga seorang daripada mereka meninggal dunia di Penjara Taiping, pada 17 Januari lalu.
Kesemua mereka berhimpun bermula sekitar jam 11.30 pagi dengan membawa gegantung serta menuntut keadilan terhadap puluhan banduan berkenaan sebelum ia berakhir lebih sejam kemudian dengan aman.
Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P Ramasamy berkata, dia menuntut agar isu berkenaan segera diberi perhatian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, insiden kekerasan warden penjara seumapa itu seharusnya tidak berlaku kerana ia disifatkan sebagai melanggar undang-udang, di samping setiap tahanan reman masih belum didapati bersalah oleh mahkamah.
“Kami juga dimaklumkan ahli keluarga dan waris sudah mula tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan tahanan sejak beberapa minggu lalu, susulan insiden kematian seorang tahanan.
“Saya terkejut dengan isu ini dan untuk itu saya menuntut siasatan mendalam agar masyarakat segera mendapat gambaran sebenar berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada himpunan berkenaan di hadapan Penjara Taiping, pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Interim URIMAI, David Marshel berkata, kesemua tahanan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun masih belum disabitkan.
Kata David, pihaknya dimaklumkan bahawa mereka didakwa dipindahkan daripada Penjara Batu Gajah dan ditempatkan sementara di sebuah dewan dalam Penjara Taiping, pada 16 Januari lalu
Beliau mendakwa, tahanan di situ telah meminta kepada warden untuk ditempatkan di tempat yang lebih selesa, namun dikatakan insiden kekerasan dipukul beramai-ramai menggunakan cota dan gas pemedih mata telah berlaku pada keesokan harinya.
“Kami mendapat maklumat tentang insiden ini apabila salah seorang tahanan yang dibawa ke mahkamah memaklumkan kepada hakim bahawa dia dan rakan-rakan cedera didera.
“Mungkin hal ini yang menyebabkan waris tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan ahli keluarga yang ditahan. Alasan yang diberikan pihak penjara, mereka ini dikuarantin selepas dipindahkan dari Penjara Batu Gajah,” dakwanya.
Sementara itu, anak lelaki kepada banduan meninggal dunia yang enggan dikenali memaklumkan, dia dan keluarga menuntut keadilan dan penjelasan sebenar terhadap insiden yang menimpa bapanya.
Remaja yang berusia 20 tahun itu berkata, kematian ayahnya yang belum sempat dibicarakan atas kesalahan dadah memberi kesan mendalam apabila kali terakhir berjumpa dengan mendiang pada dua bulan lalu.
“Pihak penjara memaklumkan bahawa ayah meninggal dunia akibat sakit jantung akan tetapi, hasil bedah siasat memaklumkan sebaliknya, iaitu kecederaan abdomen akibat trauma tumpul
“Oleh itu kami menuntut satu kebenaran dan keadilan atas kematian ayah. Mengapa dan siapa yang memukul ayah saya,” katanya.
Seorang lagi waris tahanan, mahu dikenali sebagai Ally, 50, mengakui bimbang kerana tidak mengetahui keadaan anaknya yang berusia 24 tahun susulan insiden puluhan banduan dipukul itu.
“Menjadi rutin minggu saya akan jumpa anak saya di Penjara Batu Gajah dan kali terakhir jumpa pada 1 Januari lalu.
“Saya hubungi pihak Penjara Taiping untuk perjumpaan mengikut jadual namun, mereka memaklumkan anak saya dikuarantin.
“Kemudian, pada minggu lepas saya diberitahu oleh rakan bahawa anak saya dibelasah, tetapi tidak tahu teruk seperti apa. Saya berasa marah apabila pihak penjara seolah-seolah cuba sembunyikan perkara ini,” dakwanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banduan mati dalam penjara: Polis rakam percakapan 82 individu