TAPAH – Seramai 565 penduduk di daerah Batang Padang menerima surat tawaran pemberimilikan tanah yang disampaikan sendiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Penyerahan berkenaan disempurnakan Saarani sempena Perasmian Karnival Batang Padang Sejahtera Tahun 2025 di Kompleks Sukan Tapah, di sini, pada Sabtu.
Penyerahan surat tawaran pemberimilikan tanah berkenaan melibatkan beberapa kawasan antaranya Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT), kawasan setinggan dan perumahan rakyat.
Seramai 153 penduduk dari RPT Kampung Changkat Sulaiman menerima surat tawaran berkenaan diikuti RPT Kampung Dato’ Kamaruddin Peringkat II seramai 69 orang.
Bagi kawasan Setinggan In-Situ Kampung Padang, seramai 65 penerima menerima tawaran baharu.

Selain itu, 17 penerima daripada Perumahan Rakyat Desa Idaman (E-Kasih) serta 19 penerima di Perumahan Rakyat Sungai Dadeh turut diraikan pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, penyerahan dokumen hak milik pula melibatkan 225 pemilik di RPT Timah Dermawan dan 17 pemilik di RPT Seri Azam, menjadikan keseluruhan penerima pada hari ini seramai 565 orang.
Untuk makluman, RPT merupakan projek perumahan desa yang dirancang oleh PLANMalaysia untuk memperkukuhkan pembangunan luar bandar.
Di Batang Padang, banyak RPT dibangunkan secara penswastaan selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035, dengan penekanan kepada penyediaan infrastruktur serta kemudahan awam untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelaburan lestari. -MG Perak


