598 pelajar MRSM Lenggong menyertai program WAR SPRM

LENGGONG – Seramai 598 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong menyertai Program Wira Anti Rasuah (WAR) bertujuan mendekatkan generasi muda dalam usaha membanteras rasuah bermula dari bangku persekolahan.

Program tersebut dianjurkan Unit Intergriti Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Nazli Rasyid Sulong berkata, pendidikan adalah alat yang paling berkuasa untuk memerangi rasuah.

Beliau turut menyeru pelajar untuk mendalami pengetahuan tentang bahaya rasuah dan menjadi wira yang berani menegakkan kebenaran dan keadilan.

“Rasuah adalah satu ancaman yang merosakkan integriti, membantutkan pembangunan, dan mencemarkan nama baik negara.

Program WAR SPRM berjaya libatkan 598 pelajar MRSM Lenggong
Sebahagian daripada 598 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong yang menyertai Program Wira Anti Rasuah (WAR). Foto ihsan Jabatan Penerangan

“Usaha memerangi rasuah haruslah dimulakan dari peringkat akar umbi, iaitu di kalangan generasi muda kita,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian WAR MRSM Lenggong, di sini.

Hadir sama, wakil dari Unit Intergriti MARA, Ahmad Sofi Abdullah dan Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Lenggong, Zurina Sukadis.

Dalam pada itu, Nazli Rasyid turut menegaskan bahawa program WAR yang dijalankan ini adalah  selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mei lalu.

“Program yang melibatkan sektor pendidikan ini diberi penekanan sebagai salah satu strategi utama dalam membanteras rasuah di Malaysia.

“Slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Program WAR MRSM Lenggong menyeru pelajar-pelajar untuk menjadi ejen perubahan dengan memastikan diri sendiri dan orang sekeliling tidak terlibat dalam rasuah.

“Pelajar-pelajar turut diingatkan untuk meneruskan perjuangan menentang rasuah dan menjadi Wira Anti Rasuah yang sebenarnya demi mencipta masa depan yang bebas rasuah,” ujarnya.

Beliau turut optimis program ini akan membawa perubahan positif kepada pelajar dan masyarakat sekitar.

MRSM Lenggong adalah MRSM ke-28 dalam siri Jelajah WAR SPRM dan dijangka kesemua 57 MRSM akan terlibat dalam program ini dalam tempoh terdekat.

Program WAR adalah ‘brainchild’ SPRM bermula sejak tahun 2014 bertujuan mendidik pelajar mengenai bahaya rasuah serta memupuk nilai integriti dalam kehidupan seharian mereka.

Sehingga kini, program ini telah dijalankan di 174 sekolah dan melibatkan hampir 32,000 pelajar serta lebih 4,000 guru di seluruh negara. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tanah Rizab Melayu: Saarani sedia jika dipanggil SPRM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI