601 ditahan berkait dadah dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak

IPOH – Seramai 601 individu yang melakukan pelbagai kesalahan berkait dadah berjaya ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak, 29 hingga 31 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi berkenaan disertai 42 pegawai kanan polis dan 253 pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan balai-balai.

Menurut beliau, sebanyak 28 sarang penagih di Skim Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan jeti nelayan telah diserbu dalam op berkenaan.

“Pada Op Tapis Khas ini kita berjaya menahan 578 lelaki dan 23 perempuan termasuk 23 warga asing terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Myanmar berusia antara 17 hingga 65 tahun.

“Daripada keseluruhan tangkapan tersebut seramai 57 orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah dan 147 bagi kesalahan memiliki dadah, manakala 397 penagih pula disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selain itu, 12 orang telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) ABD (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 bersama 16 individu yang dikategorikan sebaai orang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohd Yusri, JSJN Perak juga berjaya mengenal pasti 25 penagih dadah tegar yang ditahan dalam Op Khas tersebut untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pihak polis juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM253,471.

Ujar beliau JSJN Perak juga turut menyita enam buah kereta, 10 buah motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM282,622.

“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya PDRM.

“Justeru itu, PDRM menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah ini,” katanya. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI