BATU GAJAH – Projek Taman Tasik Ardea melambangkan kesungguhan Kerajaan Negeri melalui Majuperak Holdings Berhad (MHB) dalam menyediakan lebih banyak pilihan perumahan yang berkualiti dan mampu milik untuk rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek di bawah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu menawarkan 601 unit kediaman.
Menurut beliau, ia merangkumi kategori Rumah Perakku I, II dan III serta Unit Terbuka, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM141 juta.
“Harga yang ditawarkan serendah RM90,000 untuk Rumah Perakku I dan sehingga RM250,000 untuk Rumah Perakku III dengan mengambil kira kemampuan sebenar rakyat, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.
“Khas bagi pembeli Bumiputera, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan diskaun lima peratus dan pengecualian bayaran deposit sebagai insentif bagi membantu lebih ramai golongan muda dan keluarga baharu berkemampuan untuk memiliki rumah pertama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Taman Tasik Ardea Mukim Sungai Terap, di sini, pada Sabtu.
Saarani berkata, projek seperti Taman Tasik Ardea itu selaras dengan Dasar Perumahan Negeri Perak, yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus unit dalam pembangunan baharu berskala besar disediakan sebagai rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik.
Jelas beliau, ini merupakan pendekatan Kerajaan Negeri Perak untuk memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah.
“Sehingga tahun 2024, lebih 8,800 unit rumah mampu milik telah berjaya disiapkan di seluruh Perak melalui pelaksanaan Program Rumah Perakku oleh pelbagai agensi negeri.
“Pada tahun ini sahaja, lebih 4,400 unit lagi dijangka siap dijangka siap menjelang akhir tahun,” katanya.
Saarani berkata, projek berkenaan dijangka siap pada September 2026. -MG Perak