650 pelajar dan masyarakat sertai World #QuranHour di Parit

PARIT – Lebih 650 peserta terdiri dalam kalangan pelajar sekolah, ketua kampung, agensi kerajaan dan masyarakat setempat hadir memeriahkan Program World #QuranHour di Masjid Radhiatul Mardhiah di sini pada Khamis.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah berkata, program yang dikendalikan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANP) itu memberi pendedahan luas terutamanya kepada pelajar sekolah merasai pengalaman baharu membaca dan menghayati tadabbur.

Menurut Khairuddin, sebelum ini PPANP menganjurkan Program World #QuranHour di perpustakaan namun sebagai menyokong Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 ia dianjurkan di Pekan Parit.

“Alhamdulillah difahamkan lebih 650 peserta hadir pada Program World #QuranHour kali ini dan mereka telah berkumpul sejak pagi lagi sehingga tengah hari dengan pelbagai pengisian bermanfaat.

“Selain daripada membaca surah Al-Jumu’ah terdapat juga ceramah dan pengisian lain yang cukup besar manfaatnya kepada pelajar-pelajar yang hadir pada hari ini,” katanya.

650 pelajar dan masyarakat sertai World #QuranHour di Parit
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak merangkap ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah mengaminkan doa pada Program World #QuranHour 1445H/2024 di Masjid Radhiatul Mardhiah, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 4 APRIL 2024.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program World #QuranHour 1445H yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ diiringi Pengarah PPANP, Rafidah Abdul Aziz.

Bacaan surah Al-Jumu’ah itu dipimpin Ustaz Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak di Masjid Radhiatul Mardhiah, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja itu berkata, program berkenaan turut menjemput beberapa sekolah sekitar kawasan Parit bagi menarik minat pelajar untuk menghayati dan menjadikan al-Quran panduan diri.

“Program ini secara tidak langsung menarik minat pelajar membaca al-Quran disamping aktiviti sekolah yang telah disusun antaranya tadarus, iftar sebagainya sepanjang Ramadan.

“Ini merupakan salah satu kaedah bagi memastikan hasrat Kementerian Pendidikan untuk melahirkan ank baik lagi cerdik itu berjaya dicapai bersama dengan pendekatan nilai kerohanian dan ketakwaan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dr Anuar, Puteri Kalimatul Azzua johan qari, qariah Tilawah al-Quran Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI