IPOH – Seramai 660 peserta dari dalam dan luar negara termasuk orang kurang upaya (OKU) bakal mempamerkan bakat mereka dalam bidang kulinari pada Malaysia Culinary World Cup (MCWC) 2025.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jenny Choy Tsi Jen berkata, pertandingan yang mengikut piawaian standard antarabangsa ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun ini di Bulatan Sultan Azlan Shah.
Menurutnya, sebanyak 65 kategori dipertandingkan bagi kategori profesional dan pelajar kulinari pada acara yang diadakan buat kali kedua ini. Terdapat juga kategori OKU bagi dewasa dan kanak-kanak.
“Bagi memastikan penilaian yang adil, seramai 115 cef profesional akan menjadi juri melibatkan 55 juri antarabangsa dan 60 juri tempatan.
“Seramai 80 orang cef dan pelajar kulinari akan terlibat sebagai kru bagi melancarkan pertandingan tersebut,“ katanya pada sidang media khas berhubung pertandingan tersebut di Tandoor Grill, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Presiden Pertubuhan Kulinari Malaysia Bersatu (MBCA), Arthur Lim.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran MCWC 2025 dijangka menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang kulinari, sekali gus membuka ruang kepada pemain industri hotel dan pelancongan mencari calon berpotensi menyertai organisasi mereka.
Katanya, pengunjung boleh menyaksikan secara langsung proses pertandingan termasuk cara juri menilai dalam tempoh masa terhad meliputi aspek keselamatan, kebersihan, penampilan, pembaziran, rasa serta persembahan hidangan (plating).
“Sebanyak 80 reruai jualan turut disediakan bagi peniaga tempatan memasarkan produk masing-masing dengan kadar sewaan yang berpatutan sepanjang tempoh pertandingan berlangsung.
“Tiada bayaran masuk dikenakan, dan orang ramai dialu-alukan hadir menyaksikan sendiri kehebatan peserta dalam medan kulinari bertaraf antarabangsa ini,” ujarnya.
Antara rakan strategik yang menjayakan acara ini ialah Arkib Negara, Tourism Perak, Pincer Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Studio, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), MBI dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Turut bersama menjayakan program ini adalah penaja dari sektor swasta termasuk Skid Pro, Green Chef, Restoran Mohd Chan, Restoran Tandoor Grill, Restoran Pokok Belacan, Canning Dimsum, Ayam Hei Hei, Adabi, Swiss Bear, Laman Zulfakar, Sri Si Manis, Bikers Chef, Fantastic Pastry Academy, Rezeal Apparel dan GPS Studio.
Sebelum ini, pertandingan sama diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur pada 2023 dan mencatat sejarah apabila mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai pertandingan kulinari terbesar di dunia. – MG Perak
Artikel Berkaitan: