7,000 nasi beriani licin dalam masa sejam

IPOH – Sebanyak 7,000 bungkus nasi beriani yang disediakan Persatuan India Muslim Perak (PRIM) dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II, di sini habis diedar dalam masa tidak sampai satu jam.

Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pemberian juadah berbuka puasa itu merupakan tradisi PRIM sejak lapan tahun lalu dan kali kelima diadakan dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II.

Menurut beliau, sebanyak 800 kilogram beras bersama 800 ekor ayam digunakan untuk menyediakan 24 periuk nasi beriani pada Ramadan kali ini dan siap dimasak sekitar tengah hari pada Khamis.

“Penyediaan bahan masakan diadakan seawal jam 12 malam dan kemudian kita mula memasak pada jam 6 pagi sebelum siap serta mula dibungkus sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Sukarelawan masjid membawa bungkusan nasi beriani ayam untuk diedarkan secara percuma kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2024.

“Orang ramai mula beratur mendapatkan nasi beriani ayam kami sejak jam 3 petang sedangkan agihan bermula jam 4 petang dan tahun ini sambutan amat luar biasa kerana tidak sampai satu jam sudah habis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program yang dikenali sebagai ‘Beriyani Day’ @ Masjid Negeri Perak, di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut Mohamed Arib berkata, hidangan yang diberikan secara percuma itu disediakan oleh Hidayah Maju Katering dengan kerjasama sukarelawan masjid negeri berkenaan dan ahli PRIM.

Pelajar-pelajar dari Politeknik Ungku Omar tidak melepaskan peluang hadir mendapatkan nasi beriani ayam secara percuma sebagai juadah berbuka puasa di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2024.

“Sedekah ini untuk semua golongan, tidak kira siapa pun mereka. Setiap seorang akan diberi sebungkus nasi beriani dengan ayam masak merah dan dalca.

“Tahun ini sama macam tahun lepas di mana kita edarka sebanyak 7,000 bungkus dan jumlah ini bertambah berbanding tahun pertama hanya 1,000 bungkus,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Masjid Sultan Idris Shah II, Datuk Mohd Zaki Mahyudin berkata, program kerjasama dengan PRIM berkenaan mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.

Timbalan Pengerusi Masjid Sultan Idris Shah II, Datuk Mohd Zaki Mahyudin (tengah) mengagihkan nasi beriani ayam secara percuma kepada orang ramai di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2024.

“Ia bukan hanya diedarkan pada kariah serta masyarakat sekitar Ipoh malah ada yang bermusafir singgah solat turut mengambil nasi beriani yang disediakan.

“Kami berharap kerjasama ini dapat mengimarahkan Ramadan kerana menyediakan juadah buat mereka yang berpuasa adalah besar pahala dan ganjarannya,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI