IPOH – Sebanyak 705 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di seluruh negeri Perak sepanjang tahun lalu, menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 306 mangsa merupakan kanak-kanak lelaki manakala 399 lagi adalah perempuan.
“Bagi tempoh sehingga 28 Februari lalu pula, sebanyak 142 kes penderaan kanak-kanak telah dicatatkan di seluruh negeri, berbanding 111 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Norhaslinda Zakaria (PN–Pangkor) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Salbiah (BN–Temengor) berkata, peningkatan kes tersebut dilihat serius dan JKM sentiasa memberi keutamaan kepada setiap aduan berkaitan penderaan kanak-kanak.
Kata beliau, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan JKM Perak melalui siri program melibatkan golongan kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga.
Menurut beliau, setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah mempunyai Pegawai Pelindung Kanak-kanak yang dilantik di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan bertanggungjawab mengendalikan kes-kes penderaan.
Selain itu Salbiah berkata, JKM Perak turut melaksanakan 30 Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak bertemakan ‘Kasih Kanak-Kanak’ di sekolah-sekolah seluruh negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Program seperti ini sedang dirangka untuk digerakkan semula agar kesedaran berterusan dapat diwujudkan dalam kalangan anak-anak,” katanya lagi.
Tambah Salbiah, Program Bengkel Interaktif turut dijalankan oleh Pegawai Psikologi dan Kaunseling JKM kepada kanak-kanak serta ibu bapa atau penjaga mereka.
“Program ini merupakan salah satu peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mewajibkan kehadiran ibu bapa atau penjaga dan anak mereka mengikuti sesi intervensi.
“Melalui intervensi tersebut, keluarga akan didedahkan kepada kaedah mengenal pasti masalah, menyelesaikannya serta menggunakan pendidikan dan ilmu keibubapaan terbaik dalam menguruskan sistem kekeluargaan mereka,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: