IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan meneruskan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) berikutan sambutan yang diterima rakyat amat menggalakkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, format yang sama akan dikekalkan seperti sebelum ini dengan mengadakan program tersebut di Ipoh dan daerah lain secara bergilir-gilir.
“Kita nampak sambutan menggalakkan dan walaupun nampak ada orang datang berulang kali tapi mereka puas hati.
“Pada masa sama, kita cuba untuk mengadakannya secara alternatif di daerah lain bagi membolehkan orang ramai di luar bandar untuk datang ke program tersebut.
“Tetapi rancangan kita ada waktunya tak dapat kita patuhi atas sebab-sebab tak dapat dielakkan,“ katanya katanya pada sidang media selepas Program Mesra HBP Siri Kelapan 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 185 aduan meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat diterima pada hari ini.
“Setakat siri ketujuh, kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah 940 aduan, dengan 712 daripadanya iaitu kira-kira 76 peratus telah diselesaikan, manakala baki 228 aduan (24 peratus) masih dalam proses tindakan lanjut.
“Penganjuran HBP kali ini menampilkan 106 kaunter khidmat pelanggan, 7 kaunter bergerak dan 2 reruai pameran, disertai dengan Jualan Murah dan Jualan Rahmah,“ ujarnya.
Saarani berkata, penganjuran HBP di Ipoh menjadi siri terakhir bagi edisi tahun ini, sekali gus menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan perkhidmatan awam kekal dekat di hati rakyat tanpa mengira lokasi, latar belakang atau kelompok masyarakat.
“Pendekatan turun padang ini bukan sahaja mengukuhkan komunikasi dua hala antara pentadbiran negeri dan rakyat, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memahami keperluan masyarakat secara menyeluruh, meliputi kawasan bandar hingga luar bandar,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rombakan Kabinet hak prerogatif PM – Saarani


