IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengeluarkan 7,968 notis kesalahan melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM479,900 sepanjang tempoh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober 2024 hingga 21 Ogos lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 1,443 operasi penguatkuasaan dijalankan dengan 21,556 premis diperiksa.
Menurutnya, selain itu, sebanyak tiga kes telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM27,000, manakala 31,087 nasihat dan advokasi mengenai Akta 852 diberikan kepada orang ramai.
“Penguatkuasaan Akta 852 di Perak diperkukuhkan melalui Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang dijalankan secara bersepadu bersama beberapa agensi di negeri ini.
“Antaranya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Daerah Batu Gajah, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Tenaga Kerja.
“Seramai 114 pegawai penguatkuasa pelbagai agensi terlibat dalam operasi hari ini yang menyasarkan premis jualan produk merokok termasuk kedai khas dan kedai serbaneka, serta kawasan larangan merokok di sekitar daerah Kinta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Ops Selamat PaPa Peringkat Negeri Perak mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Husna Maizura Ahmad Mahir.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berharap operasi bersepadu ini akan dapat mengawal ketat penjualan rokok dan vape termasuk aktiviti pengiklanan dan promosi.
“Kita juga berharap ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesalahan merokok dan menghisap vape di kawasan larangan.
“Selain itu, dapat melindungi orang awam daripada terdedah dengan toksik asap rokok daripada perokok pasif atau tegar.
“Tindakan penguatkuasaan adalah langkah terakhir yang diambil oleh JKN Perak yang sentiasa komited dalam aktiviti penguatkuasaan Akta 852,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: