TAIPING – Kerajaan Negeri Perak berjaya membawa keluar lebih 80 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada dalam kategori miskin tegar setakat ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, angka memberangsangkan itu diperoleh berdasarkan kepada mesyuarat Pasukan Petugas Khas Menoktahkan Kemiskinan Negeri yang berlangsung minggu lalu.
Katanya, menurut data pemutihan dan pasukan petugas khas di semua daerah, daripada 3,261 KIR miskin tegar pada bulan lalu, ia kini menurun kepada 971 KIR setakat ini.
Menurut beliau, ia adalah hasil berterusan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan hasrat kerajaan negeri menoktahkan kadar kemiskinan tegar menjadi realiti.
“Jika ada kes-kes terpencil melibatkan golongan miskin atau miskin tegar, orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat kepada penggerak komuniti selain daripada kepimpinan masyarakat sama ada penghulu mahupun pemimpin politik.
“Jangan kita pula seolah-olah cuba menangguk di air keruh dengan mendakwa tiada bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan, sedangkan selepas disiasat, ia berlaku sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Imarah Syawal dan Santuni Masyarakat Sejahtera di Rumah Transit Rakan Jalanan, dekat sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Salbiah menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa tindakan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan hanya dilaksanakan selepas sesuatu perkara itu tular di media sosial.
Mengambil contoh isu seorang lelaki warga emas yang hidup sebatang kara di sebuah rumah kedai di Ipoh, beliau memberitahu masyarakat dan NGO seharusnya memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan mengenal pasti kes tercicir seperti itu.
“Jangan meletakkan persepsi seolah-olah agensi dan jabatan kerajaan hanya membantu selepas sesuatu kes itu tular.
“Ini kerana, kerajaan negeri mempunyai pasukan petugas khas untuk menangani isu kemiskinan tegar seumpama ini. Namun, kita berharap semua pihak dalam anggota masyarakat dapat membantu kita,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah perlindungan sementara dari mahkamah terhadap warga emas itu.
Ia sebagai tujuan menempatkan mangsa yang berusia 82 tahun di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Halizah Sipun memaklumkan, pelbagai usaha telah digerakkan dalam menoktahkan kemiskinan susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perak Mac lalu.
Kata beliau, usaha yang digerakkan di setiap daerah itu juga melibatkan antaranya JKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi.
“Pada setiap daerah, kita meletakkan sasaran untuk mengenal pasti mereka yang berada dalam kategori miskin tegar bagi dilaksanakan inisiatif pemutihan dan penyaluran bantuan.
“Di samping itu, kerajaan negeri juga membantu mereka daripada segi padanan kerja, setakat ini sebahagian besar daripada golongan itu telah dibantu,” katanya lagi. – MG Perak.
Artikel Berkaitan: