BATU GAJAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh bersama Persatuan Sukan dan Rekreasi Tronoh menganjurkan program Memory Lane @ Tronoh Siri Ke-4 bertemakan ‘Gong Xi Raya’ yang diadakan dekat sini, pada Sabtu.
Wakil rakyatnya, Steven Tiw Tee Siang berkata, program ini diadakan bagi menghangatkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada minggu hadapan.
Menurutnya, kira-kira 800 pengunjung yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hadir pada program yang diadakan bermula jam 4 petang sehingga 11 malam tadi.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuklah persembahan tarian singa dan gendang Cina bagi mempromosikan budaya kaum Cina serta menjalin silaturahim bersama semua bangsa.
“Dalam negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk, masing-masing perlu hormat-menghormati budaya masing-masing supaya perpaduan kaum dapat dicapai.
“Kita juga menggalakkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa untuk bersama-sama meraikan setiap perayaan khususnya Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengunjung yang hadir ke program tersebut turut diberi peluang mencuba untuk bermain gendang Cina.
“Malah, ada juga pengunjung yang datang memakai busana tradisional masyarakat Cina. Ini adalah suatu petanda yang amat positif yang menunjukkan perpaduan di antara masyarakat dalam DUN Tronoh,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lebih 3 juta kenderaan dijangka memasuki Perak sempena Tahun Baharu Cina