IPOH – Sebanyak 81 unit tukun tiruan berjaya dilabuhkan Jabatan Perikanan Perak di sekitar Pulau Pangkor, Perairan Rungkup dan Kepulauan Sembilan bagi tempoh 2014 sehingga 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, usaha berkenaan bertujuan menarik lebih banyak hidupan marin dan memulihkan ekosistem laut.
“Selain itu ia juga turut menyokong aktiviti perikanan dan pelancongan seperti memancing rekreasi dan selam skuba.
“Tukun tiruan ini juga berfungsi sebagai benteng semula jadi mengekang aktiviti pencerobohan pukat tunda,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di halaman Facebook miliknya.
Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Program Melabuh Tukun x Konservasi Pulau Sembilan 2025 di Taman Negeri Pulau Sembilan pada Isnin.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Baginda berdua berkenan menyaksikan pelabuhan tukun tiruan tersebut oleh pasukan Jabatan Perikanan Negeri Perak di Pulau Rumbia, Kepulauan Sembilan.
Menurut Saarani sebanyak sebanyak 12 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di dasar laut sekitar Pulau Rumbia, Kepulauan Sembilan oleh pasukan Jabatan Perikanan Perak pada program berkenaan.
“Bersempena program ini juga, bermula semalam diadakan aktiviti pembersihan pukat hantu, salah satu inisiatif konservasi utama anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak.
“Usaha ini mendapat penglibatan penyelam daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), serta badan bukan kerajaan (NGO) Nature and Oceanography Advocate Society (NOAS),” katanya.
Saarani turut menzahirkan harapan agar dengan pelbagai inisiatif tersebut, Kepulauan Sembilan akan terus dipelihara sebagai kawasan marin yang kaya dengan biodiversiti, seterusnya menyumbang kepada kelestarian ekosistem laut dan kesejahteraan masyarakat setempat. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke Program Melabuh Tukun Pulau Sembilan