TELUK INTAN – Seramai 81 lelaki warga Indonesia ditahan dalam Op Helang Hilir Fasa 2 yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, operasi bermula jam 1 pagi itu diadakan bagi membanteras kegiatan kecurian buah kelapa sawit yang semakin berleluasa di daerah tersebut, khususnya membabitkan warga asing.
Menurutnya, operasi bersepadu itu dijalankan di seluruh kawasan pentadbiran daerah Hilir Perak, melibatkan kekuatan tiga pegawai kanan polis dan 30 pegawai rendah polis.
“Pasukan operasi telah melakukan serbuan ke atas 19 premis, termasuk kebun dan rumah kongsi pekerja ladang sawit di sekitar Langkap, Labu Kubong, Chui Chak dan Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, daripada 81 individu yang ditahan, seramai 56 daripada mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala 25 individu lagi memiliki permit atau pas lawatan yang telah tamat tempoh.
“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit, dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan tahanan reman bagi siasatan lanjut,” ujarnya.
Dr Bakri berkata, Op Helang Hilir Fasa 2 adalah kesinambungan kepada tindakan bersepadu polis dalam usaha mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap polis, selain mengekang kerugian ekonomi akibat jenayah kecurian hasil pertanian di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. – MG Perak
Artikel Berkaitan: