IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman hanya menerima sebanyak 86 aduan berkaitan rasuah membabitkan anggota dan pegawai polis sepanjang tahun lalu.
Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, jumlah itu bersamaan dengan 1.28 peratus daripada 6,696 jumlah keseluruhan aduan dan maklumat yang diterima membabitkan warga PDRM.
Katanya, walaupun jumlah itu disifatkan sebagai kecil namun ia memberikan kesan dan gambaran negatif berkaitan integriti PDRM terhadap masyarakat umum.
“Jika dibandingkan dengan kekuatan semasa PDRM iaitu sekitar 125,000 orang dalam satu-satu masa, jumlah aduan dan maklumat rasuah adalah sekitar 0.07 peratus.
“Bagaimanapun perlu diingat, isu rasuah telah memberi kesan mendalam kepada persepsi rasuah dalam PDRM.
“Justeru itu, usaha menangani rasuah dan persepsi rasuah ini oleh semua pihak perlu dibuat dengan lebih agresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Isnin.
Pada majlis, beliau menyaksikan bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa pada Isnin.
Dalam pada itu Azri berkata, sebanyak 3,603 kertas siasatan tatatertib dan kertas enkuiri tatatertib telah dibuka ke atas warga PDRM pada sepanjang tahun lalu.
Ujar beliau, dalam tempoh sama, seramai 1,404 pegawai polis telah dijatuhi hukuman tatatertib dengan 164 orang daripadanya dibuang kerja, 32 orang diturunkan pangkat dan 15 orang turun gaji.
Tambah beliau, JIPS turut telah melaksanakan 593,553 pemeriksaan pematuhan di seluruh negara dan mengesan lebih 5,313 kelemahan petugas di lapangan sepanjang tahun lalu.
“Cawangan Risikan dan Operasi JIPS telah melaksanakan tangkapan ke atas 133 orang pegawai polis di mana 50 orang melalui serbuan maklumat dadah dan daun ketum, 45 orang bagi kes pelacuran dan pusat hiburan selain 38 orang dalam serbuan bagi kes
perjudian, pemerasan, hidup mewah dan hubungan intim,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: