TAPAH – Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta untuk memberikan biasiswa penuh kepada semua pelajar Orang Asli yang meraih keputusan cemerlang 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada 1,932 pelajar Orang Asli, 87 daripada mereka berjaya memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 5A ke atas dalam peperiksaan berkenaan.
Katanya, daripada jumlah itu dua pelajar berjaya memperoleh keputusan 9A, 8A (13), 7A (11), 6A (22), serta 5A (39).
“Saya telah mengarahkan kepada Pengerusi MARA (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) untuk beri anak-anak Orang Asli yang dapat keputusan 5A dan keatas wajib diberi biasiswa 100 peratus untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan MARA (IPMa).
“Dan mereka juga boleh membuat permohonan untuk masuk ke mana-mana instiusi pendidikan di bawah MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), dan German-Malaysian Institute (GMI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini, pada Jumaat.
Hadir sama ke majlis, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk anak-anak Orang Asli sebagai salah satu laluan pembangunan modal insan kepada mereka.
Menurut beliau, Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa cakna dan memberikan tumpuan khusus dengan nasib masyarakat Orang Asli khususnya dalam soal kebajikan dan pembangunan.
“Tawaran ini tiada kena mengena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. (Sebaliknya) ia terbuka kepada semua lepasan SPM di seluruh negara bukannya untuk pelajar di Ayer Kuning sahaja.
“Oleh kerana MARA di bawah KKDW, adalah munasabah untuk meletakkan anak-anak Orang Asli ini di bawah institusi pendidikan di bawah MARA,” katanya.
Pada peperiksaan SPM 2024, seramai 87 orang memperoleh keputusan cemerlang yang menyaksikan Pahang merekodkan jumlah tertinggi seramai 40 orang diikuti Johor (17), Perak (14), Negeri Sembilan (6), Selangor (6), Melaka (3) dan Kelantan (1) – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri disenangi masyarakat Orang Asli