IPOH – Segmen Jualan Rahmah yang diadakan pada Karnival Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya dekat sini antara yang mendapat sambutan menggalakkan.
Orang ramai dan penduduk sekitar tidak melepaskan peluang dalam mendapatkan pelbagai barang keperluan di 14 reruai sejak hari pertama berlangsung pada Isnin.
Pengurus Bahagian Perniagaan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Mohd Farid Mohammad berkata, ayam segar seberat kira-kira 1 kilogram (kg) seekor dijual pada harga RM10 antara yang mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung.
“Mereka yang berkunjung kata memang tak dapat barangan yang jual pada harga murah melainkan ada program Jualan Rahmah.
“Setakat dua hari karnival ini, sebanyak 900 ayam segar telah terjual dengan harga RM10 setiap satu berbanding RM17 yang dijual di pasaran,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Menurut beliau, selain ayam segar, PPN Perak turut menjual daging segar, tulang, kerepek dan jus dengan harga jauh lebih murah daripada yang dijual di luar.
Mohd Farid memberitahu, tengah hari dan petang antara waktu Karnival WCIT 2024 menerima bilangan pengunjung yang ramai.
Mengulas lanjut beliau berkata, usaha yang digerakkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) melalui penganjuran karnival berkenaan amat baik kerana ia mampu merapatkan jurang antara agensi dengan rakyat.
“Ini kali pertama program Jualan Rahmah bekerjasama dengan WCIT 2024, dan ia bagis kerana menggabungkan entiti yang terlibat dengan Jualan Rahmah dan pendidikan,” katanya.
Pengunjung, Haryatina Ahmad, 49 ketika ditemui berharap agar program seumpama itu dapat diadakan pada masa akan datang.
Menurut ibu kepada empat anak itu, segmen Jualan Rahmah yang diadakan itu sedikit sebanyak memberi impak positif kepada penduduk setempat.
“Terasa sangat rahmah pada harga barang-barang yang saya beli seperti beras, gula dan serbuk minuman koko. Di sini saya dapat jimat dalam 20 peratus berbanding beli di kedai,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Urus Setia Karnival WCIT 2024, Mohd Afiq Ridhwan Tarmizu berkata, sebanyak 52 reruai keseluruhannya ditempatkan pada program yang berlangsung selama tiga hari sejak Isnin.
Kata beliau, reruai pameran pendidikan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta institusi lain termasuk USAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Yayasan Perak.
Menurut beliau lagi, sementara segmen Jualan Rahmah membabitkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bersama agensi dan syarikat lain seperti PPN, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aeon, Mydin dan Segi Fresh.
“Sepanjang tiga hari penganjuran Karnival WCIT 2024, pelbagai aktiviti menarik telah disusun termasuk pertandingan nasyid, promosi KPT, bual bicara dan sebagainya.
“Sementara program Jualan Rahmah yang diadakan mendapat reaksi positif apabila ia menawarkan pelbagai barangan dengan harga berpatutan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: