IPOH – Seramai 92 atlet Perak akan membawa cabaran Malaysia sempena Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung di Thailand pertengahan Disember ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, atlet terbabit akan mewakili negara dengan menyertai beberapa acara yang dipertandingkan.
“Antara sukan yang terlibat adalah hoki, judo, akuatik, olahraga, badminton, sepak takraw, menembak dan taekwando. Tahniah dan syabas kepada atlet negeri Perak yang membawa cabaran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri sentiasa komited membangunkan industri sukan melalui pelbagai bentuk bantuan supaya atlet dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Majlis Sukan Negeri Perak (MSNPk) sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam memastikan persiapan dan persediaan kontinjen negeri telah merancang pelbagai aktiviti serta program pelaksaan yang berimpak tinggi bagi memastikan kontinjen dapat mencapai pingat yang disasarkan dan merealisasikan hasrat rakyat di negeri ini.
“Merujuk kepada Road Map 2025 dan perancangan 2026 ia melibatkan persiapan dari segi fizikal, mental, penghargaan, program-program pengukuhan pasukan dan sebagainya.
“Antara perancangan dan pelaksanaan program serta aktiviti termasuklah pelantikan dan penyambungan jurulatih; pemilihan atlet Long List Fasa 1,Fasa 2 dan Fasa 3; penyertaan atlet ke kejohanan luar dan dalam negara; program khas atlet podium dan Karnival Sukan Perak,” ujarnya.
Justeru, Khairudin menjelaskan bahawa pelaksanaan dan objektif setiap program yang dianjurkan oleh MSNPk adalah untuk menilai tahap prestasi, penyertaan dan pencapaian atlet Perak semasa kejohanan berlangsung.
Di samping itu, beliau berkata, ia sekali gus dapat mengumpul maklumat terkini mengenai trend, dasar, dan strategi pembangunan sukan seluruh negara bagi memperkukuh dasar pembangunan sukan negeri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sukan SEA 2025: Sasaran pingat ikut jumlah pingat keseluruhan


