930 hektar tanah PKNPk berstatus pertanian

IPOH – Dianggarkan 930.77 daripada 7142.932 hektar tanah yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di negeri ini dikenal pasti sebagai tanah berstatus syarat nyata pertanian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada angka itu, sebahagian tanah seluas 550.77 hektar telah mempunyai komitmen sewaan dan pajakan dengan pihak ketiga.

Katanya, pada dasarnya PKNPk tidak menjalankan aktiviti pertanian sebagai fungsi teras, namun sebahagian daripada bank tanah perbadanan itu merupakan tanah berstatus pertanian yang diperoleh melalui dasar pengambilan dan perancangan pembangunan negeri.

“Selaras dengan keperluan pengurusan aset yang berhemah, tanah-tanah ini perlu terus diuruskan secara aktif untuk mengelakkan kemerosotan nilai, pencerobohan, serta liabiliti penyelenggaraan yang tidak produktif.

“Bagi memastikan tanah-tanah ini kekal teratur, bernilai dan berimpak positif sementara menunggu pelaksanaan pembangunan strategik, PKNPk melaksanakan penyewaan jangka pendek sebagai instrumen pengurusan aset interim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Husairi Ariffin
(PN-Kenering) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Menurut Saarani, pendekatan itu mengekalkan produktiviti minimum tanah tanpa menjejaskan fleksibiliti PKNPk untuk memulakan projek strategik yang dirancang di bawah Roadmap Transformasi dan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Di samping itu ujar beliau, tanah seluas 3436.55 hektar milik PKNPk juga dikenal pasti sebagai tanah-tanah yang berada di lokasi berpotensi untuk pembangunan pelbagai sektor iaitu di bawah inisiatif ‘Strategic Land Value Proposition (SLVP)’.

“Tanah-tanah ini terletak di lokasi yang berpotensi untuk pelbagai sektor utama seperti pembangunan hartanah, industri berasaskan mineral, hospitaliti dan pelancongan, teknologi hijau, ekonomi digital serta pelabuhan dan logistik,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

TNB Genco, PKNPk santuni 50 keluarga asnaf di Gerik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI