IPOH – Sebanyak 982 daripada 3,200 premis makanan yang telah dilesenkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bandar raya ini mencapai pengiktirafan pensijilan Gred A pada tahun lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI berkenaan mencapai peratusan 30 peratus gred A daripada jumlah yang dilesenkan.
Rumaizi berkata rentetan itu, MBI menyasarkan pencapaian 50 peratus Gred A premis makanan di dalam kawasan pentadbirannya bagi tahun 2025.
“MBI akan terus berusaha menjalankan pemantauan pemeriksaan dan pengredan premis makanan secara rutin selari dengan sasaran 50 peratus tahun ini.
“Pencapaian sasaran ini adalah penting untuk merancakkan ekonomi gastronomi dalam kalangan peniaga premis makanan tempatan sebagai persiapan program MBI untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di sini pada Sabtu.
Menurut Rumaizi, pengiktirafan sijil Gred A hanya sah bagi tempoh dua tahun dari tarikh dikeluarkan dan pembaharuan boleh dibuat di Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBI.
“Kriteria pengsijilan Gred A mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas berkonsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).
“Tambahan lagi, premis perlu mengemukakan beberapa dokumentasi yang utama seperti kad suntikan anti- typhoid bagi semua pengendali makanan, kursus pengendali makanan, pemasangan alat perangkap minyak (grease trap), dan mengadakan kawalan serangga perosak (pest control),” katanya.
Jelas beliau lagi, pelaksanaan dasar kebersihan tandas berkonsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) diambil kira sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan premis makanan yang bermula tahun 2024 oleh MBI melalui saranan KPKT.
“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 1689 tandas premis makanan telah diperiksa dan diberi penarafan bintang termasuk sebanyak 1670 tandas premis makanan yang telah diberi penarafan lima bintang ke atas.
“Walaubagaimanapun sebanyak 19 tandas premis makanan telah diberi penarafan tiga bintang dan telah diambil tindakan surat amaran dan kompaun serta lesen perniagaan tidak diperbaharui pada tahun 2025 sehingga premis tersebut mengambil tindakan pematuhan dan mencapai tahap kebersihan tandas premis makanan kepada empat bintang dan ke atas,” katanya. -MG Perak