Dua suspek jadi keldai akaun ditahan libatkan kerugian hampir RM50,000

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita dan lelaki masing-masing berumur 23 tahun itu ditahan di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah pada Selasa lepas bagi membantu siasatan dua kes penipuan terbabit.

“Berdasarkan siasatan, wanita yang ditahan itu dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket memperdaya mangsa dalam urusan tawaran kerja sambilan tidak wujud membabitkan seorang pelajar wanita berusia 22 tahun.

“Pelajar itu berminat untuk membuat kerja sambilan secara dalam talian dan telah menekan pautan yang diberikan sebelum membuat 20 transaksi ke dalam akaun bank membabitkan keseluruhan sebanyak RM31,483, namun tidak mendapat sebarang komisen,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek wanita itu telah menyerahkan kad bank miliknya kepada individu yang dikenali secara dalam talian untuk tujuan pinjaman wang pada Jun 2022.

Kamarul Rizal berkata, suspek lelaki itu pula disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket memperdaya mangsa dalam urusan pelaburan tidak wujud melalui dalam talian melibatkan mangsa seorang juruteknik lelaki berusia 25 tahun.

Beliau berkata, mangsa telah membuat beberapa transaksi ke dalam akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,470 sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan sebelum menyedari diri telah ditipu dan membuat laporan polis di Balik Pulau.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah menyerahkan kad bank miliknya kepada individu yang dikenali melalui dalam talian untuk tujuan sewaan akaun bank sejak awal September tahun lepas. Kedua-kedua suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan 19 lelaki termasuk seorang warga emas yang kesemuanya berumur 24 hingga 62 tahun kerana terlibat dengan kes memiliki dan positif dadah, pada Selasa.

Kamarul Rizal berkata kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri itu dan pihak polis turut merampas sejumlah syabu dan heroin daripada tiga lelaki berkenaan yang dipercayai turut menjalankan kegiatan mengedar dadah.

“Ujian air kencing mendapati 19 orang itu positif pelbagai jenis dadah, seorang daripada mereka yang ditahan merupakan suspek dikehendaki polis bersabit kes dadah dan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan narkotik serta jenayah,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI