Isu beras bukan macam telur ayam, hari ini umum esok boleh naik

KUALA LUMPUR – Sebarang bentuk perubahan dalam industri padi dan beras negara tidak boleh dibuat dalam sekelip mata kerana komoditi ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang berkata, industri padi dan beras negara adalah kompleks yang perlu dilakukan dengan penuh teliti jika dasar dan pelaksanaannya mahu diubah dan ditambah baik.

“Industri padi dan beras tidak sama dengan industri telur. Hari ini umum harga naik, esok boleh jual harga baharu.

“Industri padi dan beras ni ada akta dan akta itu perlu dipatuhi dengan betul dan cermat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyatakan berlaku kekeliruan berhubung pengumuman mengenai Beras Putih Malaysia Madani oleh Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ismail menyambut baik kenyataan menteri tersebut kerana pengumuman oleh Syed Abu Hussin itu telah menyebabkan seluruh peserta industri beras negara ‘meloncat’.

“Jujurnya memang kami terkejut. Mana boleh dan memang mustahil untuk beras putih tempatan dan import disatukan dan dijual pada harga RM30 bagi 10 kilogram.

“Beras tempatan dibeli dengan harga pukal RM1,650 untuk setiap tan metrik dan beras import pula RM3,350. Mana sama matematiknya.

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang. Foto, MOHD ADZLAN.

“Itu belum campur kos pengangkutan, kos kampit. Kalau pun ditambah RM2.50, sudah jadi RM35 untuk 19 kilogram. Siapa nak tanggung kerugian tu.

“Jika kerajaan nak bagi subsidi pun, kena duduk bincang, perincikan betul-betul. Bukan umum macam itu sahaja,” ujar Ismail lagi.

Menjawab pertanyaan, Ismail berkata, andai kerajaan menggunakan beras tempatan untuk beras Madani, tidak salah.

Cuma persoalan utamanya mampukah kerajaan mendapat bekalan yang cukup kerana sumber beras tenpatan di seluruh negara hanya 60 peratus sahaja.

Sedangkan keperluan beras di Malaysia untuk adalah 45,000 metrik tan.

“Dan, bekalan ini tidak pernah cukup kerana jika berlaku banjir di Pantai Timur, sudah tentu bekalan terjejas.

“Sekarang di utara Semenanjung panas, bekalan memang pasti terjejas,” jelasnya lagi.

Isu lain ialah, jika kerajaan menggunakan beras tempatan untuk beras Madani dan dijual pada RM30 bagi 10 kilogram, harga ini adalah mahal.

“Akan timbul lah persoalan, kata kerajaan nak bantu rakyat, kalau RM30 bagi 10 kilogram beras, bantu apa?,” katanya.

Oleh itu, Ismail berkata, kerajaan dan pemain industri perlu duduk semeja, berbincang dan berunding dengan berhati-hati untuk kepentingan semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI