TAIPING – Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup keluar petrol bersubsidi dari negara ini pada 17 Februari lalu.
Tertuduh, Nopphon Abdulloh, 51, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Nopphon yang berasal dari Betong didakwa mengisi bahan api petrol dalam tangki kenderaan Toyota Camry bagi maksud supaya barangan itu dibawa keluar dari Malaysia melalui darat seperti yang dinyatakan dalam ruang Jadual Pertama melebihi kuantiti berjumlah 60 liter.
Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Pos Jabatan Imigresen, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada 17 Februari 2024 sekitar jam 11.30 pagi.
Kesalahan dilakukan mengikut Subperaturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5(a) Peraturan yang sama.
Napphon yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan dan Sharifah Norazlita juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 25 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil.
Terdahulu, media melaporkan KPDN Perak berjaya mematahkan cubaan seorang warga Thailand menyeludup minyak petrol RON95 ke negara jiran pada Sabtu
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 51 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak ketika melakukan pemeriksaan kenderaan di Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada jam 11.30 pagi.
Pemeriksaan lanjut ke atas kereta bernombor plat Malaysia yang mahu menuju ke Betong, Thailand itu telah menemukan sebuah tangki tambahan pada bahagian belakang yang bersambung dengan tangki asal kenderaan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak patahkan cubaan seluduh Petrol Ron95 ke Thailand