IPOH – Pejabat Ahli Parlimen Tambun dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan bantuan lesen memandu Kelas B2 kepada 1,000 individu menerusi Program MyLesen Parlimen Tambun, pada Ahad.
Penyerahan bantuan itu disempurnakan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Kolej Poly-Tech Mara, di sini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Ahli Parlimen Tambun, individu yang menerima bantuan itu terdiri daripada golongan B40 yang terdiri yang berusia 16 tahun dan ke atas.
“Program MyLesen adalah komitmen dan usaha cakna Kerajaan untuk membantu mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan.
“Pemilikan lesen memandu Kelas B2 ini akan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Tambun untuk memudahkan pergerakan bagi menguruskan aktiviti-aktiviti ekonomi seterusnya membantu meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan berharap inisiatif tersebut dapat membantu golongan B40 yang menghadapi cabaran ekonomi untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2.
“Inisiatif ini juga sebagai usaha untuk melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten dan selamat.
“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya,” jelas kenyataan itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPJ Perak sedia 20,000 slip pembaharuan LMM sebagai permulaan