IPOH – Kebanjiran warga asing di Rumah Pangsa Bercham yang semakin menguasai penempatan di kawasan itu amat membimbangkan sehingga menimbulkan rasa takut kepada penduduk warga tempatan.
Malah, penduduk mendakwa terdapat kes pecah rumah dan gaduh dipercayai melibatkan warga asing yang turut mengancam keselamatan penduduk di kawasan tersebut.
Penduduk, K Satthiya, 42, berkata, lokasi ini menjadi pilihan warga asing kerana harga sewa yang ditawarkan murah iaitu antara RM250 hingga RM450 sebulan.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu ramai warga asing menduduki rumah pangsa berkenaan terutamanya dari negara Indonesia dan Bangladesh.
Katanya, kebanyakkan warga asing yang datang ke sini terlibat dalam kerja pembinaan, pembersihan dan pasar raya berhampiran.
“Pada waktu malam, kami dengar ada warga asing yang bergaduh dan jika cuti umum kami akan lihat ramai akan berkumpul di sini.
“Kejadian pecah rumah juga ada berlaku. Ada jiran-jiran yang memberitahu banyak barang hilang antaranya adalah baju,” katanya ketika ditemui awal pagi tadi.
Dia yang juga antara penduduk awal di rumah pangsa tersebut berkata, ada juga warga asing yang sudah beranak pinak dan membina keluarga sehingga mewujudkan komuniti dalam kalangan mereka.
“Mereka (warga asing) dah bina keluarga, ada anak-anak. Kami pula kena sabar dan diam apabila nampak mereka semakin ramai di kawasan ini,” ujarnya.
Katanya, akibat tidak tahan dengan populasi warga asing yang semakin bertambah, penduduk di rumah pangsa itu bertindak membuat aduan kepada pihak berwajib supaya masalah itu dapat diselesaikan segera.
Dalam serbuan menerusi Op Pintu yang dijalankan Jabatan Imigresen Perak di kawasan perumahan itu awal pagi tadi, seramai 358 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 158 orang ditahan terdiri daripada 93 lelaki, 54 perempuan dan 11 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 60 tahun.
Serbuan yang bermula jam 12.30 malam itu menyasarkan semua 15 blok kediaman tersebut membabitkan 560 unit rumah.
Operasi itu melibatkan 157 pegawai dan anggota Imigresen Perak termasuk Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta telah memeriksa 300 unit rumah yang dikategorikan sebagai hot spot kerana lebih 80 peratus warga asing tinggal di kawasan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sembunyi belakang pintu, cuba larikan diri taktik PATI elak dicekup Imigresen