Moratorium Eksport NR-REE: Perak bakal hilang hasil pendapatan

IPOH – Perak bakal kehilangan hasil pendapatan sekiranya Kerajaan Persekutuan meneruskan moratorium eksport sumber mineral galian unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menyuarakan pendirian agar eksport NR-REE dibenarkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menurut beliau, ini kerana Kerajaan Negeri Perak telah menerima royalti sebanyak RM21.1 juta sepanjang tempoh Februari hingga November 2023 melalui hasil perlombongan NR-REE, khususnya di Mukim Kenering Hulu Perak.

“Jadi kalau Kerajaan Persekutuan berterusan larang Perak untuk eksport (NR-REE) bermakna kami akan kehilangan hasil itu memandangkan hasil berkenaan sudah ada nak jual ke mana.

“Kerana itu kita minta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) supaya pertama ada pengecualian kepada Perak untuk kami eksport sehingga wujud data ditetapkan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Perak SADC, Perlancaran Pra Pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri & Pra Pelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di Ibu Pejabat Perak SADC, di sini, pada Selasa.

Saarani turut mencadangkan agar NRES mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah entiti yang menjadi pembeli kepada hasil NR-REE memandangkan terdapat pelabur yang menawarkan diri bagi melaksanakannya.

“Pelabur ini menawarkan diri mereka bagi membuka perindustrian yang berkaitan dengan huluan dan hiliran NR-REE dan kita akan lihat perkara ini dengan lebih serius.

“Insya-Allah kita akan jumpa dengan kementerian untuk memberi keistimewaan kepada Perak bagi mendahului kerana kami sudah ada barang tapi tak boleh eksport, jadi kita harap kementerian bersetuju,” katanya.

Terdahulu media melaporkan setiap kerajaan negeri diingatkan agar mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah NR-REE yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lepas, di Dewan Rakyat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, surat peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua kerajaan negeri pada 6 Mac lepas. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Empat kementerian bincang model perniagaan NR-REE

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI