IPOH – Beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) di Perak kesal dengan tindakan beberapa pemimpin politik yang dilihat seolah-olah mempertahankan perniagaan KK Mart berhubung kempen memboikot perniagaan itu susulan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
NGO Misi Kita, Persatuan Kebajikan Masyarakat Cakna Tapah Perak (PERMAT) dan Panji Iman Malaysia melalui jurucakapnya, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam.
Katanya, pihaknya kesal dengan kenyataan yang dibuat pemimpin-pemimpin politik itu yang dilihat seperti mahu memperlekeh kempen memboikot rangkaian perniagaan berkenaan yang sedang digerakkan.
“Kita tidak boleh berkompromi lagi dalam isu ini. Kita Orang Melayu Islam berlembut sudah, nasihat baik-baik sudah, bertolak ansur sudah, buat laporan polis sudah, boikot sudah, cuma kurang ajar sahaja belum.
“Takkan kami hendak kurang ajar pula selepas ini? Isu ini sangat sensitif yang saya kira mereka sepatutnya tidak boleh keluarkan kenyataan seperti itu,” katanya.
Yushairil berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui membuat laporan polis berkaitan isu stoking yang tertera kalimah Allah di Balai Polis Sungai Senam, dekat sini, pada Ahad.
Difahamkan kenyataan yang dimaksudkan itu merujuk kepada beberapa kenyataan pemimpin politik yang mempersoalkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah sebelum ini.
Mengulas lanjut, Yushairil berkata, laporan polis itu dibuat sebagai mahu pihak polis dapat mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang tidak menjaga sensitiviti agama di negara ini.
Justeru, ujarnya lagi, umat Islam di negara ini disaran untuk terus memboikot rangkaian perniagaan KK Mart sebagai tanda bantahan dan solidariti dalam isu stoking tertera kalimah Allah.
“Pada Bulan Ramadan ini sepatutnya Umat Islam mahu melakukan ibadah dengan keadaan tenang, namun kita ‘dihidangkan’ pula dengan perka-perkara sebegini.
“Kekesalan ini saya tidak tuju kepada semua, sebaliknya hanya kepada segelintir mereka yang tidak sensitif tentang Islam.
“Tidak kisah kamu Orang Melayu, Cina atau India, apabila kamu sentuh apa-apa perkara berkaitan dengan agama lain, ia dikira salah,” katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan Bukit Aman sudah melengkapkan dua kertas siasatan membabitkan KK Mart dan syarikat kilang pengedar yang mengimport stoking tertera kalimah Allah
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial berkaitan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di rangkaian kedai berkenaan di Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
UMNO Perak gesa isu stoking tertera kalimah Allah diselesaikan segera