GERIK – Dua lelaki berpantang ajal sebelum maut selepas treler yang dinaiki mereka terbabas ke gaung sedalam tujuh meter di Kilometer 57, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, di sini, pada Sabtu.
Difahamkan kejadian berkenaan menyebabkan pemandu berusia 52 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala kelindan berusia 43 tahun luka di kaki kiri.
Ketika kejadian treler berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik dan setibanya dilokasi kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas memasuki gaung di sebelah kanan jalan menghala ke Gerik.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd Azizan Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 9.32 bagi dan sepasukan 12 anggota digerak ke lokasi kejadian.
Ujar beliau, semasa jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 10.33 pagi didapati sebuah treler terbalik di mana seorang mangsa telah dikeluarkan oleh anggota tentera yang melalui kawasan kejadian.
“Pasukan bertugas mendapati terdapat seorang lagi mangsa yang tersepit di dalam treler tersebut dan operasi segera dijalankan bagi mengeluarkan mangsa.
“Komander Operasi membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota menggunakan ‘hydraulic cutter’ dan ‘spreader’ bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan pada ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mohd Azizan berkata, operasi tamat pada jam 11.25 pagi dan kedua-dua mangsa dibawa ambulans ke hospital. -MG Perak
Artikel Berkaitan: