Pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu

IPOH – Seorang pemandu pelancong berusia 44 tahun maut selepas ditimpa bongkah batu di kawasan Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling, di Taman Saikat, dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 11.30 pagi.

Katanya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa sedang membawa pelancong dari Negara Vietnam ke Bandar Raya Ipoh.

“Semasa berada di tempat kejadian, satu bongkah batu telah terjatuh dan mengenai kepala mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan pakar forensik perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun juga mendapati kematian adalah berpunca daripada kecederaan kepala akibat ditimpa batu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan si mati tiada menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambahnya.

Abang Zainal Abidin memberitahu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu diminta untuk menyalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Polis Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki maut dalam nahas jalan raya babitkan pacuan empat roda

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI