PBT perlu patuhi pekeliling pembangunan gua, kaki bukit – MB Perak

IPOH – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk mematuhi pekeliling yang akan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip itu diwujudkan pada 2022 bagi pembangunan di kawasan kaki bukit dan dalam gua batu kapur di negeri ini selamat.

Menurutnya, jawatankuasa terbabit juga membuat dasar melibatkan gua-gua untuk dijadikan sebagai lokasi pelancongan, pusat meditasi dan sebagainya termasuklah Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di Gunung Rapat.

“Jawatankuasa ini akan mengeluarkan satu pekeliling kepada semua PBT, pengusaha dan semua agensi yang terlibat supaya mereka berhati-hati dan melaksanakan kerja-kerja mitigasi mengikut piawaian yang betul, bukan sekadar ambil syarat sahaja.

“Kita tidak kompromi dengan isu keselamatan. Ia bukan fasal gua, bukan fasal periuk nasi pengusaha pelancongan, tetapi ia berkaitan dengan nyawa manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di pejabatnya, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Menyentuh sama ada Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling akan ditutup atau meneruskan operasi susulan kejadian pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu baru-baru ini, Saarani berkata, keputusan itu hanya akan diputuskan syor oleh jawatankuasa tersebut.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu seberat lima kilogram (kg) ketika mengunjungi sebuah kawasan pelancongan di Gunung Rapat, 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, laporan kejadian itu diterima sekitar jam 11.30 pagi melibatkan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.

Kawasan pelancongan itu ditutup sementara sehingga laporan penuh berhubung kejadian tersebut disiapkan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu pelancong ditimpa batu: Perak bentang laporan dalam MMK esok

Pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI