IPOH – Seramai 67 orang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak dan Pejabat Kewangan Negeri Perak dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir bagi menyempurnakan majlis anugerah tersebut di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 67 orang penerima dan semoga anugerah ini dapat menjadi pencetus inspirasi kepada penjawat awam yang lain.
“Majlis Penganugerahan APC 2023 ini kita adakan pada setiap tahun sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kerja.
“Kita meraikan rakan-rakan perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi kerja dan pencapaian yang tinggi sepanjang tahun 2023,” katanya.
Penerima Anugerah Khas APC Perak 2024 adalah Mohamad Rozlan Mohamad Razali; Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak(STeP).
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.
Pada majlis tersebut, penerima APC menerima sijil penghargaan dan insentif berupa wang bernilai RM1,000.
Katanya, pengiktirafan ini harus menjadi pembakar semangat supaya penerima lebih cemerlang pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau bangga dengan pencapaian yang diraih dalam tempoh beberapa tahun ini disebabkan perencanaan yang diatur secara berpasukan.
“Pencapaian cemerlang sesebuah organisasi tidak akan dapat dicapai tanpa semangat berpasukan yang utuh daripada setiap anggotanya.
“Dua elemen penting iaitu saling mempercayai dan komunikasi berkesan antara rakan sekerja menjadi kunci dalam membina semangat sepasukan yang unggul,”tambah beliau.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan mengharapkan anugerah tersebut dapat menjadi suntikan contoh kepada rakan sekerja.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pencetus inspirasi untuk semua terus berbakti dengan cemerlang di samping berpegang kepada nilai integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya. – MG Perak.