Giat Mara Bagan Datuk dinaik taraf kampus MCI

BAGAN DATUK – Giat Mara Bagan Datuk akan dinaik taraf menjadi Malaysia-China Institute (MCI) bagi melatih pelajar tempatan di dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) sebelum di hantar ke China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keluasan institusi latihan berkenaan juga akan ditambah daripada tiga ekar kepada 60 ekar dalam usaha menjadikannya sebagai salah sebuah kampus MCI dalam negara.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya Giat Mara Bagan Datuk dinaik taraf menjadi institut melatih pelajar TVET sebelum mereka dihantar ke China.

“Antara kursus yang ditawarkan adalah kursus membaiki dan juga penyelenggaraan terhadap kereta-kereta elektrik dan juga kenderaan hidrogen,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran beliau di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, beliau berharap dengan naik taraf berkenaan ia bukan sekadar memberi limpahan kepada penduduk Bagan Datuk malah seluruh negara tanpa mengira kaum.

“Kita mahu buka seluas-luasnya peluang TVET ini supaya kita ada tenaga kerja baharu berlandaskan teknologi tinggi terutamanya dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) ekoran permintaan pelabur asing,” katanya.

Januari lalu media melaporkan, sebanyak 17 institusi TVET di China bersetuju dan bersedia untuk bersama dalam Malaysia-China Institute (MCI) dengan menawarkan sebanyak 2,000 kuota latihan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kemahiran kepada pelajar TVET Malaysia.

Kuota latihan yang diberikan itu dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini seramai 650 orang pelajar TVET telah dihantar ke China bagi mengikuti latihan. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI