Tukar rumput, tidak akan ganggu perlawanan Perak FC

IPOH – Kerja-kerja naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput Zeon Zoysia di padang Stadium Perak akan diatur dengan teliti bagi memastikan jadual perlawanan Liga Super melibatkan Perak FC tidak terganggu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia bagi mengelak kemarahan penyokong pasukan tuan rumah sekiranya mereka terpaksa bermain di gelanggang lawan ekoran keadaan stadium yang tidak lengkap.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai pihak melaksanakan kerja-kerja pengantian rumput serta menaik taraf saliran Stadium Perak.

“Kerja-kerja itu akan dijalankan setelah adanya perbincangan antaran MBI, Perak FC dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) supaya ia mengikut skop dan masa yang telah ditetapkan.

“Kita juga kena melihat jadual perlawanan Liga Super supaya nanti Perak FC ada peluang dan ruang untuk bermain di gelanggang sendiri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bergambar bersama pelajar sekolah pada Majlis Penyerahan Buku Tuisyen Asrama Harian Negeri Perak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama Yayasan Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 19 APRIL 2024.

“Kita tidak mahu semua main di gelanggang lawan, peminat akan marah, jadi InsyaAllah ia (kerja penukaran) tidak akan ganggu dan kita akan susun ikut keadaan semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan buku tuisyen asrama harian negeri Perak di sini.

Seramai 2,000 pelajar asrama membabitkan 47 buah sekolah harian dan 27 buah sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negeri yang layak menerima buku tambahan sebagai persediaan latih tubi menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Tambah Khairudin, kerja-kerja menaik taraf sistem saliran serta penukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Perak itu juga akan dilaksanakan sebaik menerima geran RM500,000 yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Januari lalu, KBS melalui Menterinya, Hannah Yeoh menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persediaan musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 manakala RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Stadium Manjung Atau Ipoh? Di Mana Perak FC Beraksi Belum Dimuktamadkan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI