Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Kuala Lumpur: Dua helikopter yang dilaporkan bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang menjalani raptai untuk kali ketiga bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian terbabit menyebabkan 10 anggota TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah maut.

Menurutnya, pihak TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang melibatkan helikopter TLDM itu.

“Saya berharap orang ramai tidak tularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti dan menghormati keluarga mangsa dan tidak mengganggu proses siasatan,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini, hari ini.

Beliau berkata ada antara identiti mangsa terlibat sudah dikenal pasti yang berusia bawah 40 tahun dan mayat dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk proses selanjutnya.

Mohamed Khaled berkata, tiada mangsa raptai lain terlibat dalam insiden berkenaan kerana helikopter itu terhempas di kawasan kolam renang dan padang stadium yang kosong.

Beliau berkata ketika ini, keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian dan pihaknya akan membawa mereka yang berada di Pangkalan TUDM di Kota Kinabalu untuk dibawa ke Lumut bagi proses selanjutnya.

“Bagi pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan saya sendiri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dengan perasaan dukacita kejadian ini berlaku semasa latihan raptai untuk persiapan acara berkenaan,” katanya yang akan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan mendapatkan laporan penuh berhubung insiden terbabit.

TLDM hari ini mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM. – Bernama

Artikel Berkaitan:

Kesemua 10 kru helikopter TLDM terhempas disahkan terkorban

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI