Nahas helikopter TLDM: Kerajaan sedia beri bantuan kepada waris

LUMUT – Kerajaan bersedia menghulurkan segala bentuk bantuan kepada waris dan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas melibatkan helikopter jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bantuan itu dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Segala perincian (bantuan) akan dimaklumkan Menteri Pertahanan. Kita percaya mangsa sudah mencarum di dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), ada yang ada pencen dan insuran.

“Di samping itu Perdana Menteri akan umumkan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk membantu keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan ke lokasi nahas dan menziarahi waris mangsa di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Pangkalan TLDM petang Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah memaklumkan semua waris sudah tiba di HAT kecuali keluarga mangsa yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah akan dibawa terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi proses pengecaman mayat serta bedah siasat.

Katanya, apabila berlaku tragedi seperti itu bukan sahaja waris malah rakyat turut merasai kesedihan tersebut.

“Ada majoriti mereka mempunyai keluarga dan anak yang masih kecil. Bayangkan anak yang berumur tiga tahun tidak tahu apa-apa, kehilangan sama ada ibu atau bapa.

“Justeru, saya minta supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati waris mangsa dengan tidak memaparkan apa-apa yang boleh menyentuh sensitiviti mereka yang terlibat,” katanya.

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Mereka yang terkorban dari pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy (Penumpang); Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Mangsa yang berada di dalam pesawat Fennec (M502-6) dikenal pasti sebagai Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas helikopter terhempas: 7 kru lelaki, 3 wanita dikenal pasti – KP Perak

Senarai 10 mangsa nahas pesawat helikopter TLDM terhempas di Lumut

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Helikopter terhempas: Negara berdukacita, beri kesan kepada keluarga ATM – PM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI