SITIAWAN – Juruterbang pesawat Fennec (M502-6), mendiang Leftenan T Sivasutan, 31, baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 25 Januari lalu.
Mendiang Sivasutan adalah salah seorang daripada 10 kru yang maut dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi.
Sepupu mangsa, M Sivanesan, 23, berkata, sewaktu kejadian ibu, R Parameswary dan bapa mendiang pula, M Thanjappan masing-masing berusia 60-an berada di kuil di Teluk Intan untuk satu upacara keagamaan.
“Pagi tadi ibu bapa abang (Sivasutan) pergi ke kuil di Teluk Intan untuk satu upacara keagamaan sebelum bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon berhubung kejadian yang menimpa abang.
“Isterinya juga berada di Teluk Intan atas tuntutan kerja. Sebelum ini isterinya yang bekerja sebagai doktor gigi bertugas di Pulau Pinang dan dia baru sahaja melaporkan diri di Teluk Intan semalam.
“Abang memang sangat berminat untuk bertugas di TLDM dan sudah tiga tahun menamatkan pengajian untuk menjadi juruterbang.
“Sebelum ini, abang bertugas di Sandakan, Sabah dan merupakan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mendiang di Taman Serdang Jaya, pada Selasa.
Katanya, mendiang yang memang meminati profesion tersebut sudah berkhidmat dalam TLDM sejak lapan tahun lalu.
“Adik mendiang adalah ahli keluarga pertama pergi ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Lumut untuk membuat pengecaman kemudian dia bersama kakak bergerak ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pengurusan mendiang.
“Ibu bapanya masih terkejut dan bersedih dengan kejadian yang menimpa satu-satunya anak lelaki mereka,” jelasnya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Sivanesan berkata, dia memang rapat dengan mendiang dan menganggapnya seperti abang sendiri.
“Saya turut bersedih dan tak dapat terima (kejadian itu) kerana saya selalu datang rumah dan mendengar abang bercerita. Tiba-tiba tahu dia sudah tiada,” katanya.
Mayat mendiang Sivasutan akan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Serdang Jaya, Sitiawan sebelum disemadikan di krematorium berhampiran.
Terdahulu MG Perak melaporkan, 10 mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang merupakan kru dua buah helikopter HOM dan Fennec TLDM disahkan terkorban dalam kejadian dua pesawat bertembung di ruang udara dan terhempas dalam kejadian di Lumut, pagi tadi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Luluh hati terima mesej takziah ketika harap anak selamat – Bapa
Semoga roh mereka semua tenang dah di tempatkan dikalangan orang orang yang beriman 🙏😭😭😭😭😭