SPRM bukan siasat kami tetapi Tun Mahathir, kata Mokhzani, Mirzan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir menegaskan siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan terhadap mereka sebaliknya disasarkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, dokumen mengikrarkan aset yang diminta oleh SPRM bagi menentukan sama ada bapa mereka telah menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri.

“Kami ingin memaklumkan di sini bahawa kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

“Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai “anak” kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kami memahami keseluruhan siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada bapa kami, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menyalahgunakan kuasanaya sebagai perdana menteri untuk memperkayakan kami,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua mereka menolak tuduhan terhadap Dr. Mahathir dan ingin membuktikan kekayaan yang diperoleh adalah melalui cara yang sah, menggunakan saluran betul dan tanpa melibatkan sebarang aktiviti jenayah.

Sementara itu, mereka berterima kasih kepada SPRM kerana memberikan tempoh lanjutan 30 hari lagi untuk mengikrarkan aset masing-masing.

Namun mereka menegaskan, adalah sukar untuk menyediakan dokumen yang diminta dan ada yang tidak lagi wujud berikutan asset yang perlu diisytiharkan melibatkan tempoh 43 tahun.

“Hakikatnya, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutamanya dari institusi kewangan dan juga dari sektor awam.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia contohnya hanya memerlukan pembayar cukai untuk menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dan begitu juga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Walaupun begitu, kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan dokumen-dokumen ini tetapi ada yang hampir mustahil untuk diperolehi memandangkan ia tidak lagi wujud,” katanya.

Tegasnya, adalah sangat membantu sekiranya SPRM dapat menentukan tempoh masa yang paling penting bagi siasatan mereka.

Semalam SRPM memberikan tempoh lanjutan 30 hari lagi kepada kedua-dua anak bekas Perdana Menteri itu untuk mengikrarkan aset masing-masing.

Pada 18 Januari lalu, SPRM dilapor memanggil Mirzan yang juga anak sulung Dr. Mahathir bagi membantu siasatan berkait kekayaannya dengan notis untuk mengisytiharkan harta dikeluarkan kepadanya.

Mokhzani pula dilapor disiasat disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan turut dikehendaki mengisytiharkan harta SPRM dalam tempoh ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, dua anak bekas perdana menteri itu boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI