KAMPAR – Sekumpulan penternak lembu dan kerbau di Kampar serta Tapah tidak berpuas hati terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa melakukan operasi menangkap dan menyita haiwan ternakan mereka dengan cara tidak wajar.
Wakilnya, Mohamad Yusof Yasin, 65, berkata, pihaknya kesal selepas kerap berlaku insiden yang didakwa pihak berkuasa PBT menangkap haiwan-haiwan ternakan mereka walaupun ditempatkan dalam kawasan persendirian.
“Kami kesal dengan kejadian tangkapan haiwan ternakan yang berlaku kepada salah seorang penternak pada 23 April lalu di sini.
“Dua ekor kerbau milik rakan kami telah ditangkap dari kandang miliknya dengan menggunakan jentera MDKpr dalam satu kejadian pada awal pagi. Susulan itu satu laporan polis telah dibuat pada keesokan harinya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika mengadakan perhimpunan aman berhubung perkara berkenaan di hadapan bangunan Majlis Daerah Kampar (MDKpr), di sini, pada Isnin.
Kira-kira 150 orang wakil penternak lembu dan kerbau hadir sekitar jam 10 pagi dengan lokasi dikawal pihak polis.
Justeru, Mohamad Yusof meminta, agar siasatan dan tindakan lanjut dapat diambil pihak berkuasa ekoran kejadian berkenaan yang didakwa telah berlaku bertahun-tahun.
Menurutnya, tindakan seumpama itu tidak sewajarnya berlaku kerana ia boleh memberi tangkapan salah guna kuasa dalam kalangan anggota dan penguat kuasa PBT.
“Kami tidak nafikan ada juga tangkapan melibatkan haiwan ternakan berkeliaran di jalanan. Itu kami akur apabila dikenakan tindakan.
“Namun dalam kes seperti ini, penguat kuasa seolah mengambil kesempatan dengan menjalankan operasi sama ke atas haiwan yang berada di kawasan persendirian termasuklah dalam kandang milik penternak,” ujarnya.
Pada masa sama, peguam yang dilantik mewakili kumpulan penternak berkenaan, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin berkata, satu aduan rasmi akan dibuat pihaknya kepada PBT tersebut berkaitan hal sama.
“Kami berharap agar siasatan telus dan berintegriti dapat dijalankan di samping disusuli dengan satu penyelesaian yang tuntas ke atas isu ini. Pihak penternak bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” katanya.
MDKpr ketika dihubungi pemberita memaklumkan perkara itu telah berada dalam siasatan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat penternak berkenaan pada 24 April lepas.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: