MARA peruntuk RM2 bilion taja pelajar dalam, luar negara tahun ini

GERIK – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sehingga RM2 bilion bagi penajaan pengajian peringkat Ijazah Sarjana (Sarjana) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di dalam dan di luar negara pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan berkenaan bakal menaja sekurang-kurangnya 2,000 pelajar yang melepasi permohonan yang bakal dibuka pada 7 Mei ini.

Menurut beliau, mereka yang berkelayakan dialu-alukan untuk memohon memandangkan ia merupakan salah satu agenda memperkasakan lagi pendidikan Bumiputera

“Selain itu, ini juga merupakan komitmen MARA untuk terus menghantar pelajar-pelajar ke luar negara kerana kita melihat ini sebagai pelaburan masa depan negara yang baik terutamanya kepada Bumiputera.

“MARA memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion hingga RM2 bilion melibatkan tidak kurang 2,000 pelajar yang akan dihantar ke luar dan dalam negara tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Kecil Pengkalan Hulu, Parlimen Gerik Bersama Pengerusi MARA di Arena Square Pengkalan Hulu, di sini pada Khamis.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Yusri Hassan Basri dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail.

Ujar beliau, dianggarkan hampir 10,000 penduduk pelbagai kaum sekitar daerah kecil Pengkalan Hulu hadir pada majlis rumah terbuka yang dianjurkan MARA buat pertama kali di kawasan berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai permohonanan kuota untuk menempatkan anak-anak masyarakat Orang Asli ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Asyraf Wajdi berkata, pihaknya akan memberi keutamaan kepada suku kaum berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya mengambil pendekatan untuk tidak menggunakan perkataan kuota sebaliknya memberi keutamaan kepada anak-anak masyarakat Orang Asli untuk memasuki MRSM.

“Kalau kita letak kuota ia seperti kita menghadkan peluang mereka, apa yang penting kita hendak memastikan ramai boleh masuk.

“Kita akan beri keutamaan kepada orang asli dan ini komitmen kami MARA, apatah lagi untuk Parlimen Gerik ini yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Giat Mara Bagan Datuk dinaik taraf kampus MCI

Tiada kompromi kes buli di MRSM, ‘you touch you go’ – Asyraf Wajdi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI