IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) telah melakukan pelbagai penambahbaikan pengurusan bagi mengelak insiden Tanah Rizab Melayu (TRM) bertukar status berulang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu termasuk penggunaan laman e-Tanah Perak dan sebagainya dalam usaha mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa.
Saarani ketika diminta mengulas pendakwaan terhadap bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak, minggu lalu berkata, insiden berkenaan merupakan kes lama yang berlaku 12 tahun lalu.
“Kes itu berlaku pada tahun 2012 dan selepas itu kita ada e-Tanah sebagainya.
“Sudah banyak pembaharuan dan penambahbaikan dari segi pengurusan PTG telah dilaksanakan sehingga kini,” jawabnya ringkas.
Terdahulu Saarani hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet di sini, pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman meminta agar penambahbaikkan dilakukan bagi mengelakkan sebarang kelemahan pengurusan di PTG.
Menurut Hamidah, pendakwaan yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak itu membuktikan bahawa terdapat kelemahan di dalam jabatan tersebut sehinggakan kesalahan sebegitu besar tidak disedari oleh pegawai tertinggi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saarani memaklumkan kerajaan negeri menyokong ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membuat penyiasatan.
“Radar SPRM bukan sahaja tertumpu kepada PTG sahaja tetapi ia berterusan berikutan perdana menteri inginkan penguatkuasaan dapat disempurnakan dengan baik bagi mengelak berlakunya rasuah dan sebagainya.
“Kita di peringkat kerajaan negeri tiada masalah. Apabila ada aduan SPRM hendak masuk buat penyiasatan itu atas kebijaksanaan mereka, kita tidak campur tangan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekas Timbalan Pendaftar PTG Perak mengaku tak bersalah menipu status Tanah Rizab Melayu