LENGGONG – Kerajaan Persekutuan diminta untuk sentiasa mempertingkatkan penambahbaikan infrastruktur serta aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan di pintu-pintu sempadan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, ia bagi memastikan kebolehoperasian dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan di pintu sempadan negara sentiasa berada pada tahap yang paling tinggi.
Menurut beliau, Perak turut terdedah dengan pelbagai ancaman keselamatan tidak kira jajaran sempadan laut mahupun darat.
Jelas beliau, ia ekoran negeri ini mempunyai satu pintu masuk darat negara iaitu melalui kawasan di Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Betong, Thailand.
“Tidak dinafikan, kekuatan dari aspek pelancongan serta potensi perindustrian di daerah bersempadan membolehkan wujudnya kerjasama antara dua negara berjiran Malaysia dan Thailand.
“Namun suka untuk saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya tidak sesekali berkompromi dalam soal keselamatan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kampung Beng, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak sangat menghargai komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menyelesaikan isu-isu keselamatan sempadan.
Ujar beliau, pihaknya sentiasa bersedia untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Perak sentiasa kekal terpelihara.
“Dengan sinergi erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak, saya sangat yakin matlamat untuk membangunkan penduduk khususnya di kawasan luar bandar akan dapat dicapai secara tuntas, Insya-Allah,” katanya.
MG Perak sebelum ini melaporkan lokasi baharu pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang lebih hampir dengan pintu sempadan Malaysia-Thailand akan dimuktamadkan pada bulan ini.
Shamsul Anuar berkata, ICQS baharu itu perlu dibuat bagi menyelesaikan soal kesesakan, warga asing mudah bolos dan sebagainya.
Sebelum ini, keputusan untuk membina bangunan baharu ICQS dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 11 April tahun lalu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Kedudukan ICQS Bukit Berapit sekarang yang berjarak 700 meter daripada pintu sempadan antarabangsa menyebabkan isu pencerobohan dan penyeludupan sama ada ke luar atau ke dalam negara kerap berlaku. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lokasi baharu Kompleks ICQS Pengkalan Hulu dimuktamadkan Mei ini