Mahasiswa antarabangsa teruja teroka budaya, cara hidup kampung

KETERUJAAN 25 mahasiswa antarabangsa untuk menerokai sendiri budaya Melayu dan cara hidup ‘orang kampung’ di samping menikmati keenakan makanan Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya sempena International Volunteering Programme (IVP) 2024 yang diadakan di Mukim Belanja, Parit baru-baru ini.

Mahasiswa yang terlibat terdiri daripada negara Indonesia, China, Bangladesh, Filipina, Syria, Eritrea, Somalia, Nigeria, Yemen, Mesir serta 24 pelajar dari Malaysia.

Kesemua mereka ditempatkan bersama 15 keluarga angkat dari empat kampung sekitar mukim tersebut iaitu Kampung Sadang, Kampung Tua, Kampung Changkat Banjar dan Kampung Belanja Kiri.

Mahasiswa antarabangsa teruja teroka budaya, cara hidup kampung
Pelajar dari China bergambar bersama keluarga angkat mereka pada majlis perasmian International Volunteering Programme 2024 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) unit kediaman luar kampus di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

Masakan Malaysia sedap dan unik

Pelajar Tahun Empat Ijazah Pengajian Pendidikan di Philippine Normal University (PNU), Stephanie Liu, 21, berkata, dia amat gembira apabila terpilih untuk menyertai program tersebut bersama sahabatnya, Christine Rivera, 21.

Dia yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia terpegun dengan keindahan suasana kampung yang amat tenang dan mendamaikan.

“Salah satu tempat yang menambat hati saya adalah Kellie’s Castle kerana seni binanya yang cukup indah serta mengembalikan nostalgia pada zaman dahulu,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.

Mahasiswa antarabangsa teruja teroka budaya, cara hidup kampung
Pelajar dari Filipina, Stephanie Liu, 21, pada majlis perasmian International Volunteering Programme 2024 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) unit kediaman luar kampus di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.budaya

Dalam pada itu, Christine pula tertarik dengan pelbagai jenis makanan yang enak disediakan oleh keluarga angkatnya.

“Masakan Malaysia agak unik kerana terdapat pelbagai rasa dalam satu jenis makanan. Antara makanan yang saya rasa sedap adalah nasi lemak, mi goreng dan ayam masak masam manis.

“Selain itu, jalan raya di sini lebih luas berbanding di Filipina kerana tadi saya baru sahaja menaiki motosikal mengelilingi kampung untuk menikmati suasananya pada waktu petang,” jelasnya yang tinggal di Metro Manila.

Mahasiswa antarabangsa teruja teroka budaya, cara hidup kampung
Pelajar dari Filipina, Stephanie Liu, 21, (dua,kiri) mencuba bermain permainan tradisional pada majlis perasmian International Volunteering Programme 2024 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) unit kediaman luar kampus di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

Pertama kali pakai baju kurung

Ibu angkat kepada Stephanie iaitu Karimah Ahmad, 58, berkata, ini adalah kali pertama mereka sekeluarga menerima ‘anak angkat’ dari luar negara.

Menurutnya, walaupun terdapat kekangan bahasa namun mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan memahami antara satu sama lain.

“Stephanie seorang yang amat baik budi pekerti dan menghormati orang tua. Dia juga tahu serba sedikit mengenai agama Islam seperti solat lima waktu kerana pernah belajar di sekolah.

“Hari ini, dia minta izin untuk meminjam baju kurung anak perempuan saya kerana mahu merasai untuk pertama kali menyarung pakaian kebangsaan kita,” ujarnya.

Pengalaman yang tidak boleh dijual beli

Mahasiswa antarabangsa teruja teroka budaya, cara hidup kampung
Pelajar dari Eritrea, Ahmed Mahmud Saeed, 21, pada majlis perasmian International Volunteering Programme 2024 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) unit kediaman luar kampus di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

Pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Kejuruteraan Eletronik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmed Mahmud Saeed, 21, dari Eritrea berkata, perkataan pertama yang dia belajar ketika tiba di Malaysia adalah makan.

Katanya, tahun lalu dia pernah mengikuti program seumpamanya di Terengganu dan kali ini seronok kerana berpeluang untuk bersama keluarga angkat di Perak.

“Banyak perkara yang saya pelajari dari segi budaya dan cara hidup masyarakat kampung. Selain itu, keadaan di sini lebih tenang dan saya dapat menghirup udara segar. Ini adalah pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

“Malaysia juga kaya dengan pelbagai jenis makanan tetapi rendang ayam adalah antara makanan paling sedap yang saya pernah makan,” jelasnya.

Bertukar adat resam, budaya negara

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairuddin Abu Hanipah berkata, program seperti ini adalah penting dalam mendedahkan mahasiswa luar berkenaan dalam memahami budaya dan adat resam orang Melayu khususnya yang tinggal di kawasan kampung.

Katanya, mereka juga berpeluang berkomunikasi bersama keluarga angkat serta bertukar pandangan berkaitan gaya hidup negara masing-masing.

“Mahasiswa luar negara yang terlibat secara tidak langsung dapat menimba pengalaman baharu serta mengeratkan silaturahim dengan keluarga angkat mereka.

Mahasiswa antarabangsa teruja teroka budaya, cara hidup kampung
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika bergambar pada majlis perasmian International Volunteering Programme 2024 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) unit kediaman luar kampus di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Segala perkara yang diperolehi di sini dapat dijadikan panduan untuk mereka menjadi pemimpin dan pendidik yang berpengalaman pada masa hadapan,” katanya.

Program IVP yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.

Ia turut mendapat kerjasama Paynet Network Sdn Bhd, Yayasan Perak, Legasi Setiakawan Enterprise, Torpedo Resources, UPSI Holding Sdn Bhd, Sadang Mali Enterprise dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Program ini adalah salah satu di bawah daripada flagship Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Komuniti Perak Sejahtera yang diterajui Jabatan Belia dan Sukan Negeri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelajar jadi content media sosial perlu berbentuk pendidikan

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI