Hajat dirikan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar masih tergantung

PARIT – Hajat untuk mendirikan sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar di Perak Tengah masih lagi tergantung kata, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurut Mohammad Nizar, ia ekoran tiada sebarang perkembangan atau keputusan berkenaan status lapangan terbang tersebut daripada Kementerian Pengangkutan (MoT).

Malah beliau berkata, kajian lapangan yang sepatutnya dikendalikan syarikat kejuruteraan infrastruktur mega, Colebrand International Limited yang berpangkalan di United Kingdom (UK) itu juga belum bermula.

“Kajian lapangan belum dimulakan sebab kita belum dapat kelepasan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan lagi memandangkan mana-mana kerja infrastruktur yang besar perlu dapat pelepasan dari mereka.

“Syarikat UK berkenaan memang ada perbincangan tetapi perbincangan itu untuk dapatkan laluan bagi dia mulakan kajian kebolehlaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Explorvokasi Keselamatan Jalan Raya di Dewan Seri Iskandar, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, di sini, pada Selasa.

Mohammad Nizar berkata, kajian kebolehlaksanaan tidak dapat dijalankan selagi belum memperoleh pelepasan dari Kerajaan Persekutuan memandangkan pihak terlibat berhadapan dengan masalah tertentu.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan tanah serta lain-lain keperluan bagi melancarkan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu namun ia terpaksa ditangguhkan.

“Walaupun kita sudah sediakan tanah dan segala-galanya tetapi mereka terpaksa dihentikan sementara kerana berhadapan dengan negeri-negeri lain yang minta lebih awal dari Perak,” katanya.

Terdahulu media pada Julai 2023 melaporkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar dicadangkan di tapak baharu seluas kira-kira 1,618.7 hektar berdekatan Felcra Nasaruddin, Bota.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Oktober tahun sama memaklumkan cadangan membina lapangan terbang baharu di Seri Iskandar, di Perak Tengah masih jauh untuk direalisasikan.

Beliau berkata, ini kerana pembinaan satu lapangan terbang baru bukan mudah kerana memerlukan proses yang rumit dan panjang. -MG Perak

Artikel Berkenaan: 

MGPerak: Cadangan Pembinaan Lapangan Terbang Di Seri Iskandar Masih Jauh – Loke

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI