TELUK INTAN – Pembukaan bangunan kilang baharu Central Medicare Sdn. Bhd. (CMSB) di Changkat Jong di sini, bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, buat masa ini kilang sarung tangan getah berkenaan mempunyai 3,080 orang pekerja di mana hampir separuh daripadanya merupakan pekerja tempatan.
“Syarikat ini ada bilangan pekerja 3,080 keseluruhan dan seramai 1,500 orang merupakan pekerja tempatan manakala bakinya pekerja dari luar.
“Dengan pengembangan pembinaan bangunan baharu ini sudah tentu ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sebab mereka mempunyai objektif untuk menambah bilangan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan G, H dan I Central Medicare Sdn. Bhd. Changkat Jong di sini, pada Isnin.
Turut hadir Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.
Ditanya mengenai manfaat yang bakal diterima negeri dan rakyat tempatan melalui Central Medicare Saarani berkata, permintaan global industri sarung tangan getah memberi peluang kepada syarikat tempatan berkenaan untuk mengembangkan perniagaan.
“Kita jangka permintaan yang tinggi daripada produk sarung tangan ini menjadikan mereka mempunyai peluang untuk memperluaskan perniagaan.
“Ia sekali gus memberi ruang yang lebih besar kepada penduduk tempatan untuk bekerja di sini malah kilang ini turut menyediakan asrama buat pekerjaan,” katanya.
Saarani turut menzahirkan rasa gembira dengan kekuatan Central Medicare yang bekerja sebagai satu pasukan sehingga berjaya mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau turut menyeru syarikat tempatan lain di negeri ini mencontohi jejak syarikat sarung tangan getah berkenaan.
“Ini adalah kekuatan kepada syarikat ini dan saya yakin semua pekerja kena teruskan budaya kerja yang telah diterapkan dan mengekalkan ia,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: