BAGAN DATUK – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, menyasarkan kira-kira 14,000 individu yang menjalankan pekerjaan sendiri mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menjelang akhir 2024.
Pengarah Perkeso Perak, V Mohanadas berkata, sasaran sama turut diletakkan pada suri rumah yang mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di seluruh negeri ini.
“Ramai (pencarum) yang telah menyambung (caruman) untuk SKSPS dan SKSSR.
“Kita jangka jumlahnya akan meningkat pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Fiesta Perkeso Prihatin bersama Politeknik Bagan Datuk di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, skim tersebut baharu sahaja dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu dalam Belanjawan 2024.
“Ini adalah satu skim baharu yang dilancarkan dan sambutan untuk permulaan amat menggalakkan.
“Program ini juga dilihat berjaya dan akan diperluaskan di seluruh Perak.
“Bagaimanapun, Perkeso diharap mempergiatkan promosi dan iklan kerana masih ramai yang belum tahu mengenai kedua-dua skim berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Sivanesan dalam ucapannya memaklumkan program pada hari ini adalah hasil usaha dan komited Perkeso terhadap kesejahteraan dan kebajikan sosial masyarakat.
Katanya, program tersebut diharap dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai Skim-Skim Perlindungan Keselamatan Sosial serta inisiatif-inisiatif baharu Perkeso.
“Secara tidak langsung, program ini dapat meningkatkan imej Bagan Datuk dan menambah nilai komersial sekaligus sebagai sebuah penghargaan kepada jabatan dan agensi sekitar daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Daftar dan carum pekerja sebelum 31 Mei atau berdepan pendakwaan – Perkeso