SC mohon bantuan orang awam kesan Ricky Wong Shee Kai

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), meminta bantuan dan maklumat orang ramai untuk mengesan lokasi bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.

SC dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pencarian itu berikutan pelbagai waran tangkap terhadap Shee Kai yang masih bebas, serta percubaan untuk mengesan keberadaannya sebelum ini.

Menurut SC, Shee Kai dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Pada 27 Disember 2019, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Shee Kai bagi dua pertuduhan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 32(2)(a) Akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, Shee Kai boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan dengan kemungkinan denda berterusan,” katanya.

Terdahulu, pada 29 September 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Wong bagi satu pertuduhan di bawah seksyen 369(b)(B) CMSA kerana memberikan kenyataan palsu berkaitan hasil AMGB kepada Bursa Malaysia.

Katanya, kenyataan palsu itu adalah berhubung dengan hasil AMGB yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan AMGB mengenai Keputusan Disatukan bagi suku tahun keempat berakhir 31 Disember 2015.

Jika sabit kesalahan, Wong akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

SC telah mengenakan pertuduhan terhadap bekas Akauntan Kumpulan AMGB, Ong Kar Kian (Ken Ong), atas kesalahan yang sama pada 30 September 2021 dan perbicaraan kini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Wong digesa untuk memaklumkan kepada SC di talian 012-6102593/012-6114657 atau e-mel kepada SC di aduan@seccom.com.my. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SC perkenal FSA sebagai pendekatan pengampang maklumat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI