IPOH – Seorang warga asing sanggup menahan kesakitan dan enggan dibawa ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dan treler di Jalan Kampung Kepayang Simpang Pulai di sini, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 1.13 petang.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian.
“Sewaktu tiba di lokasi terdapat seorang mangsa lelaki warga asing tersepit di bahagian pemandu lori tiga tan.
“Mangsa yang tersepit itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut kerana mangsa enggan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan bagi menunggu pihak syarikat tempat mangsa bekerja sampai ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Shahrizal Khassim tamat sepenuhnya jam 1.45 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: