MANJUNG – Polis sedang giat mengesan suspek yang disyaki membaling botol kaca berisi minyak tanah atau ‘molotov cocktail’ di sebuah rumah sehingga menyebabkan kebakaran sebuah kereta dan motosikal di Taman Singa Baru 2, Kampung Koh, Sitiawan, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian sekitar jam 3.40 pagi itu, kedua-dua kenderaan milik seorang jurujual wanita berusia 56 tahun mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.
Beliau berkata, siasatan ke lokasi kejadian menemui satu botol kaca dipercayai molotov cocktail ditemui di lokasi kejadian dan sehelai kertas yang tertera nama anak wanita terbabit turut ditampal luar pagar rumah berkenaan
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan anak ketiga mangsa yang tinggal dan bekerja di Singapura telah meminjam wang dari along di negara tersebut.
“Bagaimanapun, anak kepada wanita itu didakwa masih belum melangsaikan hutang walaupun wanita terbabit sudah memberikan sejumlah wang untuk melunaskannya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohamed Nordin berkata, setakat ini polis mengesyaki kejadian tersebut dilakukan dua suspek dan usaha mengesan mereka masih diteruskan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara di talian 011-1624 0391 bagi membantu siasatan pihak polis,” ujarnya. – MG Perak