Pelan Perak Sejahtera 2030: Kerajaan Negeri dalam landasan betul

MANJUNG – Kerajaan Negeri Perak berada dalam landasan betul dalam menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Saarani, berdasarkan pemantauan dan penilaian yang dibuat pelbagai jabatan dan agensi pelaksana, pelan tersebut kini berada di landasan yang betul dalam memenuhi kesemua agenda yang ditetapkan.

Katanya lagi ia bagi mencapai tiga sasaran iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kerajaan negeri berusaha mewujudkan kestabilan politik melalui dasar-dasar berorientasikan rakyat dan amalan tadbir urus yang baik bagi menarik keyakinan pelabur.

“Hasilnya, Kerajaan Negeri mampu merencana dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC); Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV); Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP); Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Taman Industri Halal Perak (Perak HIP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030, di Dewan Merdeka, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 bertujuan menyampaikan kemajuan dan pencapaian pelan itu secara terus kepada rakyat.

Ujar beliau, pelaksanaan semua projek yang dibentangkan sedang giat dilakukan termasuk melalui sinergi yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam tempoh dua tahun pelaksanaan pelan ini, pelbagai inisiatif dan program Sejahtera Sosial yang dilaksanakan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Memasuki tahun kedua pelaksanaan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri kini lebih memfokuskan kepada pelaksanaan dan pemantauan kemajuan Perak Sejahtera 2030 melalui dua komponen, iaitu Petunjuk Prestasi Utama Perak Sejahtera, dan Indeks Kesejahteraan Perak.

“Kerajaan Negeri turut menggerakkan usaha memperkasakan lagi Perak Sejahtera 2030 dengan memberdaya ekonomi dan meneroka sumber pendapatan baru khususnya dalam sektor ekonomi biru dan ekonomi penjagaan,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut menerbitkan buku Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 setebal 287 muka surat yang memperincikan 234 projek yang dilaksanakan melalui pembangunan strategik tersebut.

Selain itu juga, buat pertama kalinya, Kerajaan Negeri melancarkan dashboard Perak Sejahtera 2030 untuk memantau dan menilai status pelaksanaan setiap projek dan inisiatif yang digariskan dalam pelan berkenaan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak Sejahtera 2030: Saarani umum tiga agenda baru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI